Skip to main content

Perutusan Pengarah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Dengan penuh rasa rendah diri dan kesyukuran ke hadrat Allah SWT, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan dan sokongan padu yang diberikan kepada Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan dalam usaha memartabatkan sektor pelancongan negeri Kelantan.

Negeri Kelantan bukan sekadar sebuah destinasi tetapi ia adalah jiwa yang hidup dalam budaya, tradisi dan keramahan rakyatnya. Justeru, tugas kita bukan sahaja memperkenalkan seni dan budaya negeri ini kepada dunia tetapi untuk membawakan dunia ke Kelantan untuk menyelami dan menikmati keindahan seni dan budaya yang telah diwarisi sejak zaman berzaman.

Di bawah kepimpinan YB Datuk Exco Pelancongan dan sokongan Kerajaan Negeri, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan beriltizam untuk memperkukuh strategi promosi dan inisiatif pembangunan pelancongan yang lestari serta berdaya saing. Pendekatan kreatif dan inovatif diterapkan, seiring tuntutan era digital yang serba pantas.

Tahun ini, fokus kami adalah untuk mengangkat Tema “Indahnya Kelantan” menerusi kerjasama strategik antara agensi kerajaan, pemain industri dan penggiat seni warisan. Kekuatan seni dan warisan bukan sahaja terletak pada keindahan fizikal tetapi juga pada pengalaman yang ditawarkan dan ingatan yang akan dikenang.

Saya menyeru seluruh warga Kelantan untuk terus menjadi duta pelancongan negeri ini. Sambutlah tetamu dengan senyuman dan hati yang terbuka kerana setiap pelawat adalah tetamu negeri Kelantan.

Akhir kata saya mengajak semua untuk menjadikan laman web rasmi pelancongan negeri ini sebagai sumber rujukan utama. Ia bukan sekadar laman tetapi ia adalah pintu maya yang menghubungkan dunia luar dengan Kelantan yang kita cintai.

Teruskan menyokong usaha pelancongan negeri kita.Bersama kita harumkan nama Kelantan di seluruh dunia.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

NIK MOHAMAD FAHMI BIN NIK DAUD
PENGARAH BAHAGIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN NEGERI KELANTAN