Perutusan Exco Pelancongan
Negeri Kelantan
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, negeri Kelantan Darul Naim terus berdiri megah sebagai tanah yang sarat dengan warisan, budaya serta keindahan semula jadi yang tidak ternilai harganya.
Sebagai Exco Pelancongan Negeri Kelantan, saya amat berbesar hati untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia dan pelancong dari seluruh pelosok dunia agar menjelajah dan menyelami keunikan negeri yang kaya dengan budaya serta tradisi yang telah diwarisi dari turun-temurun ini.
Dengan tema “Indahnya Kelantan”, kita ingin membawa keistimewaan negeri ini bukan sahaja dari sudut seni dan budaya malah kekayaan alam semula jadi yang pastinya akan memukau pelancong yang hadir ke negeri Kelantan ini. Antara warisan terkenal Kelantan adalah seperti Wayang Kulit, Dikir Barat, Wau Bulan, dan Songket. Manakala untuk khazanah alam semula jadi adalah seperti Gua Ikan, Gunung Stong, Air Terjun Jelawang serta tidak dilupakan juga tempat-tempat bersejarah seperti Istana Jahar, Kampung Laut, Jambatan Guillemard dan banyak lagi.
Pelancongan bukan sekadar industri tetapi ia juga adalah jambatan yang menghubungkan manusia dengan warisan, mempertemukan tamadun dan mengangkat citra negeri Kelantan ke persada dunia. Bagi memperkukuh usaha ini, kerajaan negeri melalui inisiatif digital telah membangunkan Laman Web Rasmi Pelancongan Negeri Kelantan, sebagai satu gerbang maya untuk menjelajah negeri ini secara lebih interaktif dan menyeluruh.
Saya menyeru kepada semua warga Kelantan, pemain industri pelancongan, penggiat seni budaya dan pelancong domestik mahupun antarabangsa untuk bersama-sama kita menjadikan Kelantan sebagai destinasi yang bukan sahaja dikenang, tetapi dirindui.
Sekian, terima kasih.
YB Datuk Kamarudin Bin Md Nor
(Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan)