Skip to main content

Rumah Tiang 12

Negeri Kelantan mempunyai sejarah yang panjang sejak zaman purba. Dengan latar belakang sejarah yang panjang ini telah menjadikan senibina (reka bentuk) rumah Kelantan mempunyai bentuk rumah yang unik dan ciri khas tersendiri. Terdapat dua jenis rumah tradisional masyarakat Kelantan iaitu Rumah Bujang dan Rumah Tiang 12. Kedua-dua jenis ini sebenarnya hampir sama ciri binaannya. Rumah Bujang adalah rumah kebiasaan masyarakat yang tinggal di luar Kota Bharu terutama di Kawasan berhampiran Terengganu. Manakala Rumah Tiang 12 hanya terdapat di beberapa kampung dan bandar Kota Bharu sahaja. Rumah tradisional ini masih ada, namun sudah semakin sukar untuk mencarinya dan rata-rata rumah ini berusia lebih dari 100 tahun.

Rumah Tiang 12 ditakrifkan kerana mempunyai 12 tiang kayu yang tidak dipotong dan strukturnya dipasang dalam tanah sehingga ke puncak siling rumah. la mendapat nama berdasarkan 12 batang tiang yang terdapat pada ruangan Rumah Ibu, 6 tiang serambi dan 6 tiang panjang. Bumbungnya panjang dengan tepi sudutnya dipasang tebar layar dan dipenghujungnya dipasang pemeleh atau juga dikenali sebagai tumpu kasau dan sepasang pemeleh ibu dan sepasang serambi. Rumah ini terdapat tiga modul iaitu Rumah Ibu, Rumah Tengah dan Rumah Dapur. Rumah Ibu mempunyai ruang selasar iaitu satu ruang yang luas untuk menerima tetamu. Rumah Tengah pula menempatkan bilik-bilik dan bersekat-sekat, begitu juga Rumah dapur.
SILA IKUTI KAMI / PLEASE FOLLOW US :-