Pertandingan Memancing Ikan Toman Piala YAB. Dato’ Panglima Perang Menteri Besar Kelantan telah dianjurkan bertempat di Taman Perlindungan Ekosistem Sultan Ismail Petra (TPESIP) Tasik Pergau, Jajahan Jeli pada 13 Disember 2025 (Sabtu). Penyertaan pertandingan telah dibuka selama 3 hari dan terhad kepada 300 orang yang terawal. Walau bagaimanapun pertandingan ini telah mendapat sambutan luar biasa dan pihak urusetia telah bersetuju untuk membuka penyertaan kepada 50 peserta yang berminat secara walk in. Ini telah menjadikan jumlah peserta untuk pertandingan memancing pada kali ini adalah seramai 350 orang peserta.
Majlis Perasmian Pertandingan Memancing Ikan Toman Piala telah disempurnakan oleh YAB. Dato’ Panglima Perang Menteri Besar Kelantan. Turut hadir sama adalah YB. Dato’ Rosnazli bin haji Amin (Pegawai Kewangan Negeri Kelantan), YB Datuk Kamarudin Bin MD Nor (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan) dan Ketua Jajahan Jeli YABrs. Encik Wan Fahazil bin Wan Mohamad Jaffar. Turut berada bersama-sama di majlis perasmian ialah YB Dato’ Haji Wan Roslan Bin Wan Hamat, YB Ustaz Mohd Asri Bin Mat Daus, YB Hilmi Bin Abdullah dan YABrs. Mohd Azwan bin Ab Rahman.
Bermula 7.00 pagi lagi peserta telah membelah tasik pergau yang seluas 460 Hektar bagi memburu ikan Toman dan mencuba untuk membawa pulang hadiah Juara sebanyak RM 3,000.00. Manakala Naib Juara membawa pulang RM 2,000.00 dan tempat ketiga sebanyak RM 1,500.00. Bagi tempat keempat dan kelima adalah sebanyak RM 1,000.00 serta RM 500.00. Selain itu pihak penganjur juga menyediakan 20 cabutan bertuah kepada peserta. Untuk makluman, tasik pergau mempunyai ikan air tawar seperti ikan Lampam, ikan Talapia dan ikan Toman.