Previous Next

Majlis Pelancaran Tahun Melawat kelantan 2020 (TMK 2020)

MAJLIS PELANCARAN TAHUN MELAWAT KELANTAN 2020 (TMK 2020)

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra berkenan berangkat mencemar duli bagi merasmikan Tahun Melawat Kelantan 2020 (TMK 2020) yang diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu. Turut besama adalah isteri baginda, Cik Puan Loise Johansson.

Ketibaan baginda dan isteri telah disambut Menteri Besar Kelantan, Dato’ Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah serta barisan Exco dan pembesar Negeri Kelantan.

Dalam ucapan aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Kelantan, Mejar (B) Dato’ Haji Md. Anizam Abdul Rahman berkata Kelantan telah menyasarkan sebanyak 5.5 juta pelancong yang bakal mengunjungi negeri ini dan yakin mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Kerajaan Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan negeri (TIC) telah merangka pelbagai program utama sebagai persediaan menerima kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa. Dengan TMK 2020 yang membawa tema 3F (Family, Food & Festival) dilihat mampu untuk menarik minat pelancong kerana pelbagai program telah disusun dalam.kalendar pelancongan serta pelbagai lagi program tambahan disediakan bagi merancakkan lagi TMK 2020.

Selain program yang telah disusun, TMK 2020 juga mempunyai rakan strategik iaitu AirAsia, Malaysia Airport Berhad, Filefly, MyCar, Consortium E-Mutiara, Persatuan Hotel Bajet Malaysia dan Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Kelantan.

Bagi memperkenalkan lagi budaya rakyat Kelantan, promosi berterusan dilakukan termasuklah iklan digital pada skrin di Kuala Lumpur International Airport 2 (KLIA 2) yang akan dipamerkan kepada pengunjung yang menggunakan KLIA 2 yang dianggarkan seramai 33 juta orang pengguna setahun dan iklan pada badan pesawat AirAsia yang akan terbang ke serata dunia bagi mempromosikan Negeri Kelantan.

© 2019 Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan