TUMPAT – Kerajaan Negeri Kelantan melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dengan kerjasama Majlis Daerah Tumpat dan Pertubuhan Gabungan Seni Silat Tari Jatuh Kelantan (Setanjak) telah menganjurkan Pertandingan Seni Silat Jatuh Jajahan Tumpat 2019 bertempat di Pata Ndo Tumpat, Kelantan.
Pertandingan yang diadakan pada 5 April 2019 (Jumaat) pada jam 9.00 malam telah mendapat sambutan yang luar biasa apabila pengunjung yang hadir adalah sekitar 1,000 orang. Rata-rata pengunjung sangat teruja dan tidak sabar untuk menyaksikan Pertandingan Seni Silat Jatuh kerana pertandingan sebegini bukannya selalu diadakan. Pertandingan silat kali ini telah menampilkan 8 orang pesilat muda dan 2 orang pesilat veteran.
Pesilat mendapat tepukan gemuruh setiap kali berjaya menjatuhkan pihak lawan. Ternyata bakat baru dalam Pertandingan Seni Silat Jatuh tidak mengecewakan apabila berjaya menampilkan aksi yang bertenaga dan menghiburkan penonton. Bagi pesilat veteran pula tidak mengecewakan kerana berjaya mendapat tepukan dan sorakan gumuruh dari penonton. Kebanyakan penonton meminta pihak penganjur untuk menambahkan lagi bilangan regu dan hari pertandingan kerana tidak puas melihat aksi-aksi yang dari pesilat yang bertanding. Majlis penutup telah disempurkan oleh YB Mejar (B) Dato’ Hj Md. Anizam Bin Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan masyarakat, Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan.