Gunung Reng

 

Tapak Gunung Reng ini asalnya sebuah Kampung bernama Kampung Tala yang dibuka oleh Tok Tadoh keturunan Pulang Hari dari Jawa kira-kira 1,400 tahun dahulu. Kononnya, Ketua Kampung Tala telah mengadakan kenduri besar-besaran tujuh hari tujuh malam, cukup dengan berbagai jenis permainan. Setelah sampai hari ketujuh semua jenis permainan telah dilangsungkan. Untuk upacara penutup, mereka telah bermesyuarat dan bersetuju untuk menyediakan pertandingan memperlaga anjing dan kucing di atas bumbung rumah.

Pada waktu Zohor kedua-dua binatang ini dilagakan di atas bumbung rumah, semasa binatang itu sedang berlaga, berlaku ribut dan taufan berserta hujan yang sangat lebat. Dalam keadaan ribut taufan, seorang perempuan tua bersama dengan seorang cucunya berlari ke kampung yang berhampiran bernama Kampung Gantung untuk mengangkut padi yang dijemur. Setelah selesai memunggah padi yang dijemur, ribut taufan berserta hujan pun berhenti.

Perempuan tua tersebut pergi semula ke Kampung Tala, alangkah terperanjatnya apabila perempuan itu melihat Kampung tala telah ditutup oleh sebuah gunung yang besar dengan melenyapkan Kampung Tala sama sekali.Gunung yang menutupi Kampung Tala itu dikatakan asalnya terletak di hulu Sungai Reng, kira-kira tiga hari dua malam perjalanan iaitu di sempadan Kelantan/Perak.

Tempat asal gunung ini telah menjadi kolam. Daripada nama sungai ini maka gunung ini dinamakan Gunung Reng. Gunung Reng mempunyai gua-gua yang bercorak bilik-bilik seperti Gua Bedak, Gua Payong, Gua Kaca, Gua Rimau dan Gua Batak. Melalui pintu besar Gunung Reng ini ialah Gua Payong, boleh masuk melalui lorong dalam gua ke bilik-bilik serta ke anjung sehingga ke puncak Gunung Reng.

Lokasi Gunung Stong adalah sebagaimana berikut

© 2019 Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan

Please publish modules in offcanvas position.