Pasar Siti Khadijah - Dahulunya dikenali dengan nama Pasar Besar Buluh Kubu. Ia dibina pada tahun 1983 dan beroperasi secara rasmi pada tahun 1985. Pada 10 September 1997, Pasar Besar Buluh Kubu ditukar namanya kepada Pasar Siti Khadijah oleh Menteri Besar Kelantan pada waktu itu iaitu Y.A.B Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat bersempena nama isteri Nabi Muhammad S.A.W. Pasar Siti Khadijah merupakan tempat menjual pelbagai jenis makanan termasuklah barangan keperluan harian. Pasar ini beroperasi seawal 7.00 pagi hingga 6.00 petang. Keunikan pasar ini ialah pemandangan dalam pasar yang boleh dilihat dari tingkat 3 iaitu para penjual dimonopoli oleh golongan wanita. 

Pasar ini mempunyai empat tingkat dan berbentuk heksagon (segi lapan). Tingkat bawah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, sayur-sayuran, ayam dan sebagainya. Tingkat satu pula diperuntukkan kepada makanan kering seperti serunding, iaitu sejenis makanan Kelantan yang sangat terkenal. Juga terdapat ayam percik, ikan percik, nasi kerabu, nasi berlaut, nasi dagang, laksam dan somtam merupakan antara makanan yang paling tersohor bagi rakyat negeri Kelantan. Kuih tradisional Kelantan seperti tahi itik, akok, jala mas, buah tanjung, serabe, tepung pelita dan pelbagai lagi kuih lain yang juga dijual di sini. Manakala tingkat 2 dan 3 untuk barangan bukan makanan. Setiap pagi ia merupakan nadi penggerak utama aktiviti perniagaan bandar Kota Bharu. Kedudukannya yang strategik di pusat Bandar Kota Bharu memudahkan para pengunjung untuk bertandang.

Lokasi Pasar Siti Khadijah adalah sebagaimana berikut