Wayang Kulit - Wayang Kulit merupakan permainan tradisi masyarakat Kelantan, biasanya diadakan di bangsal atau panggung. Patung wayang kulit diperbuat daripada belulang iaitu sama ada dari kulit lembu atau kulit kerbau. Antara watak-watak pentingnya ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana.

Wayang kulit dimainkan oleh seorang Tok Dalang yang bertindak sebagai pencerita kepada dialog patung-patung wayang sambil menggerakkannya mengikut kisah cerita yang hendak dipertunjukkan dengan iringan muzik yang dimainkan oleh sekumpulan pemuzik terdiri dari serunai, gendang, canang, gong dan sebagainya. Tok Dalang memainkan wayang kulit di balik kelir, iaitu layar yang dibuat dari kain putih sementara di belakangnya dinyalakan lampu eletrik atau lampu minyak sehingga para penonton yang berada di hadapan layar dapat melihat bayangan wayang yang berada di kelir.

Kisah cerita dalam permainan wayang kulit asalnya dari epik Hindu tetapi kini telah diubahsuai dengan kebudayaan melayu tempatan. Manakala bahasa yang digunakan Tok Dalang ialah loghat Kelantan. Perusahaan membuat patung wayang kulit boleh didapati di Kampung Kemasin, Bachok, Kampung Pasir Chetok, Pasir Mas, Kampung Laut, Tumpat, Kampung Setek, Kota Bharu dan Kampung Sri Tunjong, Tumpat.