Wau - Permainan wau merupakan salah satu permainan tradisional di Kelantan. Pada zaman dahulu, penduduk negeri Kelantan menjadikan permainan wau sebagai salah satu permainan tradisional semasa lapang. Layang-layang atau wau ini akan melayang-layang di udara setelah ia dinaikkan. Permainan ini biasanya dimainkan selepas musim menuai, iaitu setelah petani-petani mempunyai masa yang terluang untuk mencipta dan menghias wau mereka. Terdapat banyak jenis wau seperti "wau kucing", "wau merak", "wau bulan" dan lain-lain lagi. Untuk mencipta wau, kemahiran yang tinggi serta kesabaran yang sepenuhnya diperlukan. Sepanjang perjalanan menuju ke Pantai Cahaya Bulan, terdapat banyak kedai yang mengeluarkan dan menjual wau rekaan sendiri.

Wau Bulan cukup dikenali di Malaysia. Wau ini merupakan layang-layang tradisional yang unik dan besar seperti saiz manusia, kebiasaannya berukuran 1.3 meter daripada kepala ke ekor. Kini, Wau Bulan telah mengelilingi serata dunia melalui Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) kerana dipilih menjadi logo syarikat penerbangan tersebut. Wau Puyuh pula merupakan layang-layang rasmi Negeri Kelantan dan strukturnya hasil daripada prinsip wau melayu tradisi. Walau bagaimanapun, ianya mempunyai penambahan sayap yang seakan sama dengan sayap burung puyuh jika dilihat dari hadapan.

Setiap wau yang dihasilkan mempunyai temanya sendiri. Contohnya tema "Daun Timun Cina", "Daun Pokok Ulat Bulu" dan sebagainya. Harga anggaran bagi seunit wau perhiasan adalah RM700-RM1000 berdasarkan kepada ketelitian hasil pembuatan. Saiz biasa bagi Wau Bulan dan Wau Puyuh adalah 4 kaki. Sesebuah wau yang dihasilkan adalah menggunakan 7-10 kertas warna. Motif akan dilukis di atas kertas warna kemudian ditebuk menggunakan tangan dan pisau kecil.

Wau dihasilkan dengan menggunakan sama ada buluh betung atau buluh duri yang dijadikan sebagai rangka. Cara pembuatannya bermula dengan meraut buluh menggunakan pisau tajam untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Buluh ini akan digunakan sebagai rangka dalam penghasilan kedua-dua wau tersebut. Benang akan digunakan sebagai pengikat untuk penyambungan rangka buluh yang lain. Rangka buluh yang disiapkan akan ditampal dengan kertas sisa telur atau minyak dengan pelbagai warna dan akan dihiasi dengan pelbagai jenis corak. Pada bahagian kepala atau muncungnya iaitu di hujung kiri dan kanan akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna-warni. Busur akan diregangkan pada bahagian belakang tengkuk wau untuk mengeluarkan bunyi dengung apabila melayang di udara. Wau ini dipasang dengan tali teraju untuk dilayangkan, tali yang digunakan adalah tali tangsi atau tali nilon tertakluk kepada saiz wau tersebut. Berikut adalah kerangka Wau Puyuh yang merupakan ikon wau rasmi Negeri Kelantan.