Rebana Ubi - Rebana Ubi merupakan salah satu permainan tradisi masyarakat Melayu Kelantan yang telah mula dimainkan kira-kira 3 abad dahulu. Pada masa silam, Rebana Ubi merupakan permainan masa lapang yang biasanya dimainkan setiap kali tamatnya musim menuai. Cara permainannya ialah setiap rebana ubi akan dipukul oleh dua orang dan boleh dimainkan secara paluan atau dipukul dengan tangan sahaja. Cara pertandingan pula ialah di dalam pertandingan satu pasukan akan memukul enam rebana dengan jumlah anggota seramai 12 orang, iaitu dua orang bagi setiap satu rebana. Pelbagai rentak akan diperdengarkan. Sebuah lagu akan dimainkan secara rasmi selama dua minit dan setiap satu-satu pasukan akan bergilir-gilir bermain. Pemberian markah dalam pertandingan adalah bergantung kepada ketahanan rentak, irama dan ragam yang berlainan serta keseragaman paluan itu sendiri. Perusahaan membuat alat permainan ini boleh didapati di Kampung Petani, Sering, Kampung Banggol, Gelang Mas, Kampung Paloh, Palebang, Kampung Gelong dan lain-lain lagi.