Majlis Daerah Pasir Mas dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) telah mengadakan Pesta Joran Majlis Daerah Pasir Mas 2017 pada 18 November 2017 (Sabtu) bertempat di Danau To’ Uban, Pasir Mas.

Pertandingan yang bermula sejak pukul 7.00 pagi ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dari dalam dan luar negeri dengan penyertaan seramai 250 peserta. Siri yang julung kali diadakan ini menawarkan hadiah menarik iaitu tempat pertama berupa wang tunai RM5,000, tempat kedua sejumlah RM2,000, tempat ketiga sejumlah RM1,000 dan banyak lagi.

Pemilihan lokasi ini bertujuan untuk mempromosikan Danau To’ Uban sebagai satu-satunya tasik semulajadi di Pasir Mas yang terkenal dengan air bersih dan pemandangan cantik untuk pengunjung. Harapan program ini adalah untuk memastikan nama Danau To’ Uban dikenali bukan sahaja di Kelantan tetapi turut dikenali di peringkat nasional sebagaimana Gunung Stong, Dabong dan Pantai Geting, Tumpat yang terkenal sebagai lokasi program Mount Stong International Climbathon dan Pesta Wau Antarabangsa Kelantan yang diadakan setiap tahun. Selain dapat memupuk penjagaan alam sekitar kepada orang awam ia juga dapat menggalakkan lokasi ini dengan aktiviti yang berfaedah.

Majlis Penyampaian Hadiah dan Cabutan Bertuah telah disempurnakan oleh YB Mej. (B) Dato’ Hj Md Anizam Bin Ab. Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Negeri Kelantan. Turut hadir bersama ialah YB ADUN Chetok, YBrs Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), YBrs Setiausaha Majlis Daerah Pasir Mas dan YBrs Ketua Whip Majlis Daerah Pasir Mas.

Kembali